KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan bekas Ahli Dewan Negara, Tan Sri Empiang Jabu seorang wanita luar biasa yang bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat Dayak, malah seluruh wanita di Sarawak.
Katanya, Empiang telah memberikan sumbangan besar dalam memperkasa wanita Dayak, khususnya melalui kepimpinan dan semangat juangnya yang tidak pernah luntur.
“Beliau telah mengembara ke seluruh pelosok Sarawak dan turut merantau ke luar negara untuk menimba pengalaman serta berkongsi pengetahuan dan inspirasi dengan wanita-wanita Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran buku Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu: A Legacy of Empowering Dayak Women di sini, malam tadi.
Premier Sarawak berkata, Empiang berperanan penting sebagai seorang pendidik, isteri kepada pemimpin politik, ibu penyayang, ahli Dewan Negara, ahli politik yang aktif serta pejuang warisan budaya, khususnya menerusi peranannya dalam Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS).
Bagi menghormatinya, Premier Sarawak berkata beliau akan membawa kisah perjuangan Empiang ke Sidang Kemuncak Wanita ASEAN, untuk berkongsi tekad dan semangat kentalnya dalam mencorak perubahan dan membina masa depan yang lebih cemerlang di rantau ini.
Turut hadir isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.
