Jambatan Batang Saribas 1 dibuka kepada umum, kurangkan masa perjalanan feri

PUSA: Penantian warga Pusa dan Beladin untuk menggunakan Jambatan Batang Saribas 1 menjadi kenyataan selepas dibuka secara rasmi kepada umum hari ini.

Majlis prapelancaran jambatan bernilai RM375.5 juta sepanjang 1.55 KM itu dilakukan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dalam sidang media, Uggah berkata pembinaan jambatan tersebut merupakan inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merapatkan jurang pembangunan luar bandar.

Menurutnya, jambatan itu akan mengurangkan masa perjalanan feri yang biasanya mengambil masa 30 minit kepada hanya beberapa minit.

Ia turut meningkatkan akses dan hubungan dengan menghubungkan pelbagai kampung, sekolah, klinik di Pusa/Beladin.

“Dengan siapnya jambatan ini, ia dapat meningkatkan sosio ekonomi penduduk di daerah Pusa,” katanya.

Jelasnya, jambatan ini merupakan kelima siap daripada 16 jambatan yang dibina di sepanjang jalan persisiran Sarawak, bukti jelas komitmen kerajaan Sarawak untuk membangunkan luar bandar.

Tegas beliau, dengan siapnya jambatan ini secara tidak langsung dapat menangkis dakwaan pihak tertentu yang mendakwa bahawa Premier Sarawak hanya cakap kosong untuk membawa pembangunan pembinaan jambatan di sepanjang jalan pesisir Sarawak.

Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo; Timbalan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu @ Aman Begiri; ADUN Kalaka, Mohamad Duri; Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Prof.Ir.Ts.Gs.Br. PMr. Dr.Cassidy Morris serta Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas.