KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin kos pengeluaran gas hidrogen dapat dikurangkan kepada 10 kiloWatt jam bagi setiap kilogram (kWj/kg) berbanding 30 kWj/kg ketika ini di masa akan datang.
Ke arah itu katanya, Kerajaan Sarawak sedang menjalinkan kerjasama dengan syarikat tenaga terkenal dari Jerman, Siemens Energy dalam usaha menghasilkan hidrogen yang lebih cekap serta menjimatkan tenaga.
“Ada potensi untuk kos ini dikurangkan lagi. Dengan kerjasama yang sedang dijalankan bersama Siemens, kami menyasarkan penggunaan tenaga sekitar 10 kWj bagi setiap kilogram hidrogen.
“Apa yang saya katakan di sini ialah kita bergerak menuju ke hidrogen bersih,” katanya berucap dalam sesi Menerajui Kemampanan Dan Digitalisasi ASEAN sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) di sini, hari ini.
Kata Abang Johari, setakat ini Sarawak berjaya menurunkan penggunaan tenaga bagi penghasilan hidrogen daripada 60 kWj/kg kepada 30 kWj/kg menggunakan teknologi membran baharu hasil penyelidikan bersama Bahagian Penyelidikan PETRONAS dan syarikat dari Jepun.
“Penyelidikan ini bukan sahaja menjimatkan tenaga, tetapi turut membantu Sarawak memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” jelasnya.
Tegasnya, pembangunan tenaga bersih ini akan menjadi sumbangan penting Sarawak dan Malaysia ke arah mewujudkan dunia yang lebih lestari dan mesra alam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel; Ketua Setiausaha Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Dato Hairil Yahri Yaacob; Pengasas Women Leadership Foundation, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir; Pengerusi AWES 2025, Pengasas Women Leadership Foundation, Datuk Dr Hafsah Hashim.
