LAWAS: Kerajaan Sarawak terus komited meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam dengan membangunkan Pejabat Pentadbiran Lawas yang dijangka siap dan mula beroperasi pada Ogos tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata, bangunan itu bakal menempatkan 16 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta dilengkapi kemudahan moden yang menyokong pelaksanaan tugas secara lebih efisien.
“Bangunan ini dilengkapi fasiliti yang cukup baik dan saya berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual.
“Bangunan ini akan menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri di bawah satu bumbung. Justeru, kita menjangkakan sistem penyampaian perkhidmatan akan lebih baik.
“Saya juga mengingatkan agar kemudahan teknologi digunakan sepenuhnya untuk memudahkan urusan, seperti mengadakan mesyuarat dalam talian serta berhubung dengan jabatan di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek, hari ini.
Turut mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi.
