DARO: Sebanyak tiga rumah panjang di Daro telah menubuhkan pasukan sukarelawan MyChampion Perubahan Tingkah Laku (COMBI).
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, rumah panjang tersebut ialah Rumah Dawi/Jaul, Rumah Jelam dan Rumah Lawrence.
“Penglibatan mereka dalam kalangan masyarakat setempat merupakan salah satu strategi yang peka dan prihatin untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Parlimen Igan dan Latihan Bina Upaya MyChampion Daerah Matu dan Daro, Bahagian Mukah, di Rumah Jaul/Dawi, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Johnie berharap semua rumah panjang di sini dapat meluangkan masa melakukan gotong-royong menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes menjelang sambutan perayaan Gawai Dayak ini.
