Majlis kesyukuran Sambutan 70 Tahun MIS

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Kesyukuran Sambutan 70 Tahun Majlis Islam Sarawak (MIS) di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, malam ini.

Majlis bermula pada jam 6.45 petang itu dimulakan dengan laungan azan dan solat fardu Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yaasin dan tahlil yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Turut disampaikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Dato Ismawi Duet, Awangku Omar Asfuaddin Awg Hamdan, Mohd Faizzil Affandi dan Hadi Mohd Sharkawi.

Majlis kemudian diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’.

Acara kemuncak ialah pelancaran simbolik logo 70 Tahun Majlis Islam Sarawak yang disempurnakan oleh Tun Dr Wan Junaidi, menandakan perjalanan tujuh dekad institusi ini dalam memartabatkan syiar Islam di Bumi Darul Hana sambil diiringi doa kesyukuran yang dibacakan oleh Dato Mustapha Kamal.

Semasa pelancaran simbolik tersebut, Tun Dr Wan Junaidi menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Mencipta Logo 70 Tahun MIS yang dimenangi Mohd Faridzhuan Firdaus Mohd Nayan menerima wang tunai RM3,000.

Hadir sama isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta tetamu kenamaan lain.