KUCHING: Sarawak akan memulakan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP Sarawak) bagi murid Tahun Enam di sekolah-sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) Sarawak pada 15 hingga 16 Oktober depan.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, penilaian julung kali diadakan ini merupakan langkah penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan DLP Sarawak.
Ia akan menjadi piawaian penilaian rasmi untuk pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga yang terlibat dalam program tersebut.
“Inisiatif ini menzahirkan komitmen kami untuk memastikan standard pendidikan di negeri ini mencapai piawaian global yang diiktiraf,” katanya semasa penggulungan bagi kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Tambah beliau, UP-DLP Sarawak melibatkan tiga mata pelajaran teras dalam kurikulum DLP Sarawak iaitu Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris.
Kertas peperiksaan bagi ketiga-tiga subjek ini dibangunkan oleh guru pakar tempatan bagi memastikan ia bersesuaian dengan konteks dan keperluan program.
Lebih membanggakan katanya, semua kertas peperiksaan ini akan melalui proses semakan dan pengesahan teliti oleh Cambridge University Press and Assessment (CUP&A), bagi menjamin pematuhan terhadap piawaian antarabangsa.
Untuk mengukuhkan kerjasama ini tambahnya, Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) telah menandatangani Kontrak Perkhidmatan bersama CUP&A pada 30 April 2025 di Cambridge, United Kingdom, disaksikan oleh Premier Sarawak.
Jelasnya, UP-DLP Sarawak merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), SWIM, serta universiti-universiti milik Kerajaan Negeri seperti i-CATS University College, University of Technology Sarawak (UTS) dan Curtin University Malaysia.
Dalam pada itu, Sagah berkata pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) di Sarawak dijangka bernilai kira-kira RM300 juta setahun.
Jelasnya, anggaran tersebut dibuat berdasarkan jumlah pelajar yang layak, iaitu sekitar 60,000 meliputi pelbagai institusi pengajian tinggi milik negeri.
