KUCHING: Seramai 10 orang dilantik sebagai Ahli-Ahli Dewan baharu bagi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi tempoh 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Majlis pelantikan itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Majlis bertujuan memperkenalkan serta mengesahkan pelantikan barisan baharu Ahli-Ahli Dewan DBKU yang akan menyumbang kepada pembangunan strategik dan pengurusan Bandaraya Kuching Utara.
Pelantikan ini juga sejajar dengan aspirasi DBKU untuk memperkukuh tadbir urus yang inklusif, telus dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
Mereka yang dilantik bagi penggal baharu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood; Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy Morris, Sih Hua Tong, Ir.Talhah@Talha Affendi, Abdul Baderi Sahmat, Iskandar Sharkawi serta Abdul Adzim Adzmi Abdul Rahman.
Ahli-Ahli Dewan DBKU akan memainkan peranan penting sebagai jambatan antara komuniti dan pentadbiran bandar, merangka dasar, serta memastikan penglibatan rakyat dalam aspek pembangunan fizikal dan sosioekonomi bandar raya ini.
Dalam pada itu, DBKU turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang dilantik dan berharap kerjasama semua pihak akan memperkukuh usaha pembangunan yang progresif, lestari dan makmur demi kesejahteraan warga Kuching Utara.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki serta Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
