KUCHING: Eksport tenaga elektrik merentasi sempadan bagi merealisasikan matlamat Grid Tenaga Borneo (BPG) dan Grid Tenaga ASEAN (APG) akan dipergiatkan untuk meletakkan Sarawak sebagai ‘Battery of ASEAN’.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Sarawak telah mengeksport lebih kurang 100 megawatt (MW) tenaga ke Kalimantan Barat sejak 2016 dan akan mengeksport ke Sabah pada suku keempat 2025.
Di samping itu, Sarawak turut merancang untuk mengeksport tenaga ke Semenanjung Malaysia, Singapura dan Brunei, katanya menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau memberitahu DUN, kapasiti penjanaan elektrik di Sarawak pada masa ini sebanyak 5,898 MW berbanding permintaan sebanyak 4,887 MW.
“Ini bermakna Sarawak mempunyai kapasiti mencukupi untuk keperluan domestik termasuk bekalan elektrik ke luar bandar,” tegas beliau.
Sasaran kapasiti bekalan elektrik pada 2030, katanya, sebanyak 10,000 MW berbanding jangkaan permintaan berjumlah 7,074 MW.
Beliau menegaskan, menjelang 2035, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan 15,000 MW melalui pelbagai sumber tenaga termasuk tenaga boleh dibaharui seperti solar, sumber tenaga melatar dan simpanan tenaga pam hidro.
Mengenai bekalan elektrik luar bandar, beliau berkata, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM2.38 bilion di bawah Pembiayaan Alternatif untuk meningkatkan liputan bekalan.
Julaihi menegaskan, ini melibatkan 209 projek yang mana 164 (78.5%) telah siap, manakala peruntukan sebanyak RM134.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 melibatkan lima projek sedang dalam pelaksanaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM315 juta untuk melaksanakan projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) dari fasa 1 hingga 4 yang melibatkan 21,073 isi rumah dalam tempoh RMKe-12.
Kerajaan Sarawak, katanya, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM550 juta bagi meneruskan pelaksanaan projek ALAF untuk fasa seterusnya di bawah RMKe-13 yang akan memberi manfaat kepada pemohon baharu yang dianggarkan berjumlah 30,600 isi rumah.
