Sarawak buat persediaan rapi hos Sukan SEA 2027

KUCHING: Sarawak sedang membuat persiapan rapi sebagai hos temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027, dengan memastikan segala aspek penganjuran mencapai standard bertaraf dunia.

Bagi tujuan itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan, kementeriannya sedang membuat perancangan untuk melakukan lawatan penanda aras ke Thailand yang menjadi tuan rumah Sukan SEA edisi ke-33 pada tahun ini.

“Lawatan itu bagi memerhati dan mempelajari operasi langsung sesuatu acara sukan utama yang mana pengetahuan akan membantu kami memperhalusi strategi untuk tahun 2027.

“Ini kerana, Sukan SEA bukan sahaja akan memberi inspirasi kepada atlet masa depan, malah akan meletakkan Kuching sebagai hab utama sukan antarabangsa di Asia Tenggara, menandakan langkah berani Sarawak ke pentas dunia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sarawak juga membuat persiapan rapi untuk mengembalikan penganjuran Sukan Borneo yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 September 2025.

Jelasnya, penganjuran semula sukan ini merupakan cetusan idea Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyifatkan sukan ini bukan sekadar acara sukan, tetapi merupakan platform untuk memperkukuh hubungan antara rakyat Borneo.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) bersama-sama dengan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan memastikan kejayaan penganjuran temasya ini.