KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak memohon sebuah institusi latihan kemahiran untuk kemudahan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, ini bagi membolehkan belia mendapat kemahiran yang bersesuaian kebolehpasaran dengan industri sedia ada di Bintulu.
“Ini kerana Bintulu akan menjadi tumpuan bagi industri penyerapan, penggunaan dan penyimpanan (CCUS) karbon baharu negeri serta penghasilan hydrogen dan bio bahan api lain,” katanya semasa menyertai perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Dalam pada itu, Iskandar menghargai usaha kerajaan negeri yang berjaya mengambil alih pelabuhan Bintulu dan yakin pelabuhan itu akan diletakkan setaraf pelabuhanantarabangsa lain dengan mengubahkannya sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik.
Disamping itu, katanya Projek Pembangunan Jepak Jaya sebagai pusat komersial baharu yang dilengkapi semua kemudahan asas termasuk taman perumahan akan menjadikan bandar Bintulu lebih progresif dan dinamik.
“Ini dibuktikan dengan pembinaan pusat pentadbiran Bahagian Bintulu yang baharu. Manakala, Jambatan Bintulu-Jepak akan merancakkan lagi aktiviti pembangunan dan ekonomi di kawasan Jepak,” tambahnya.