Program TUBE lahirkan 695 usahawan belia

KUCHING: Program Tunas Usahawan Belia (TUBE) berjaya melahirkan seramai 695 usahawan belia selepas mengikuti latihan program berkenaan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, golongan itu mendaftarkan perniagaan seterusnya menerima geran berjumlah RM10.12 juta.

Menurutnya, perniagaan yang dijalankan oleh usahawan belia membantu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan mencatatkan nilai jualan yang tinggi.

“Sejumlah 1,439 bilangan pekerjaan diwujudkan dan mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM9.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Safiee Ahmad (GPS-Daro) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Dalam usaha memperkasa usahawan belia, Ripin menambah, kementeriannya melalui Bahagian Pembangunan Usahawan telah melaksanakan pelbagai program khusus yang meliputi pelbagai kategori.

Antaranya mempergiatkan promosi dan pembangunan usahawan dengan 30 program dilaksanakan di seluruh Sarawak melibatkan 3,654 orang belia.

“Jualan Produk Usahawan juga dijalankan dengan 20 program melibatkan 526 usahawan yang mencatat nilai jualan terkumpul lebih RM1 juta.”

Mengenai prosedur dan dokumentasi pelsesanan yang rumit, Ripin berkata pihaknya telah mengadakan lebih banyak program bimbingan daripada perunding perniagaan atau profesional undang-undang untuk menavigasi pelesenan.

In termasuk menggunakan sumber dalam talian yang disediakan oleh agensi kerajaan untuk memahami dan menyelaraskan proses pelesenan.

Menyentuh isu bilangan premis tidak mencukupi dan kadar sewa yang tinggi, Ripin berkata, kementerian melhat penggunaan ruang kerja bersama atau kemudahan berkongsi sebagai alternative kos efektif kepada ruang pejabat tradisional selain menggalakkan perniagaan dalam talian.