KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa agar mempertimbangkan dan mengkaji semula elaun ketua masyarakat, ketua kaum dan ahli majlis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu (GPS-PBB),
Dr Simon Sinang Bada, berkata peranan mereka terlalu penting namun mereka hanya menerima elaun RM1,200 sebulan bagi ketua masyarakat, ketua kampung (RM900) dan ahli majlis (RM300).
“Mengikut definisi paras kemiskinan kebangsaan, sesiapa yang berpendapatan antara RM980 sehingga RM2,208 adalah tergolong dalam kumpulan B40 dan boleh dikategori dalam golongan miskin tegar,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.
Simon berkata, ini bermaksud elaun mereka tergolong dalam kumpulan miskin dan juga tidak setimpal tugas, tangungjawab dan peranan mereka.
Beliau sehubungan itu merayu Menteri Kewangan untuk mempertimbangkan dan mengkaji semula elaun kumpulan ini dan percaya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sangat prihatin dan penyayang setelah mengumumkan banyak insentif dan bantuan kepada setiap lapisan masyarakat.
