GEDONG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg merasmikan Pesta Gedong sekali gus menyaksikan acara regata Sungai Krang Tebingan Gedong hari ini.
Ketibaan Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong di Pentas Khas Tebingan Gedong disambut Wakil Khas Premier di DUN N.26 Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Turut menyambut ketibaan Premier Sarawak ialah Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong Rodiyah Sapiee, ADUN N.25 Simunjan dan Pegawai Daerah Gedong Tamida Da’adi.
Abang Johari dan anaknya Dayang Norjihan diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Abang Johari menyampaikan hadiah kepada pemenang di pentas khas Tebingan Gedong.
Sementara itu, acara bidar 25 pekayuh lelaki pecut, akhir, johan dimenangi Pasukan Team Komeng Sri Berjaya yang mencatat masa 2.07 minit, naib johan Landas Azam Kasihnya Warisan 2 (2.14 minit), tempat ketiga dimenangi Hazanah MD Gedong (2.21 minit) manakala keempat dimenangi MR Gedong.
Selepas itu, Abang Johari meninjau beberapa rumah di tebingan berhampiran yang terjejas akibat tanah runtuh.
Pesta Gedong edisi kedua ini diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu hingga 27 Julai 2025.
Pesta Gedong bertujuan mengangkat daerah Gedong sebagai destinasi utama sukan regata di Sarawak serta mempromosikan produk tempatan, terutamanya kraftangan dan hasil tani seperti buah-buahan.
