Tebingan Sungai Gedong rosak dibangun semula

GEDONG: Peruntukan sebanyak RM15 juta diluluskan bagi membangunkan semula Tebingan Sungai Gedong di sini yang mengalami kerosakan serius akibat tanah mendap.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerosakan itu menjejaskan struktur tapak tebingan sungai hingga menyebabkan lima rumah terjejas.

“Mengikut unjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), ia akan melibatkan peruntukan RM15 juta yang telah saya luluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan terjejas di Tebingan Sungai Gedong hari ini.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata, sebagai langkah segera, penghuni lima rumah terbabit telah dipindahkan ke kawasan penempatan semula dengan rumah baharu.

Beliau turut memaklumkan satu perancangan menyeluruh akan dilaksanakan bagi membangunkan semula kampung-kampung tradisi di sekitar Gedong yang sudah ada jalan namun agak sempit.

“Kalau ada masalah di kampung-kampung tersebut, pihak bomba pun susah nak masuk jadi kita melihat perancangan semula untuk kawasan tersebut,” ujarnya .

Selain lawatan ke kawasan terjejas, Premier Sarawak turut menyaksikan pertandingan Bidar 25 Pekayuh Lelaki Pecut Akhir sempena Regatta Gedong 2025 di Pesta Gedong dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Dalam perlumbaan akhir tersebut, pasukan Komeng Sri Berjaya muncul juara dengan catatan masa 2.07 minit, diikuti pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan 2 di tempat kedua (2.14 minit), manakala Hazanah MD Gedong menduduki tempat ketiga (2.21 minit).