BINTULU: Jambatan Bintulu-Jepak yang kini mencapai kemajuan kira-kira 66.7 peratus mendahului jadual dijangka dapat disiapkan pada Oktober tahun depan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, komponen jambatan akan melibatkan lampu hiasan seragam dan lif menegak pada bahagian jambatan sebelah Bintulu.
“Selain Jambatan Bintulu-Jepak, Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bintulu yang bakal menempatkan semua jabatan kerajaan di Bintulu juga akan siap pada Oktober tahun depan.
“Kita berpuas hati dengan penyiapannya kini sebanyak 59 peratus, seiring dengan jadual pelaksanaan meskipun terdapat beberapa masalah teknikal yang dihadapi sebelum ini,” katanya.
ADUN Sadong Jaya berkata demikian semasa sidang media Lawatan Kerja Ke Projek Pembinaan dan Penyiapan Jalan Pesisir Pantai Pakej 5 dan Jambatan Bintulu-Jepak di sini, pada Selasa.
Sementara itu kata Ir Aidel, status semasa projek pembinaan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Jepak, kini siap sebanyak 59 peratus di samping projek dijangka bermula tahun hadapan.
“Dengan siapnya IAC Jepak, kerajaan juga dalam perancangan membina jalan berkembar dua lorong bagi menghubungkan Lapangan Terbang Bintulu dan IAC sepanjang 40.2 kilometer.
“Dengan siapnya jalan berkembar itu nanti akan memendekkan perjalanan dari Bintulu serta kawasan berdekatan yang lain,” katanya.
Hadir sama ADUN Jepak Iskandar Turkee ; Penyelaras Infrastruktur Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Ting Sie Loh dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Bintulu Ir Ts Lau Pit Hwa.
