Abang Johari selamat tiba di Bangkok, sampaikan ucaptama WDCE 2025

BANGKOK: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selamat tiba di Bangkok, Thailand bagi menghadiri Kongres dan Pameran Air dan Pembangunan IWA 2025 (WDCE 2025).

Ketibaan beliau pada jam 12.29 tengah hari waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang diiringi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Premier Sarawak disambut oleh Menteri Bahagian Politik Kedutaan Malaysia di Bangkok, Ahmad Hashim Mahmood dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Datu Jafri Lias.

Setibanya di hotel penginapan, beliau turut disambut Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee; serta delegasi kerajaan negeri yang lain.

Esok, Premier Sarawak dijadual menyampaikan ucaptama pleno bertajuk “Air: Pemacu Masa Depan Sarawak Yang Berdaya Tahan dan Mampan” bertempat di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit, Bangkok.

Selain ucaptama beliau, para pakar dan penyelidik antarabangsa turut berkongsi pandangan berhubung inovasi, penyelesaian air bersih dan sanitasi.

WDCE 2025 yang berlangsung dari 8 hingga 12 Disember merupakan platform global utama yang menumpukan perhatian kepada isu air dan pembangunan di negara berpendapatan rendah serta sederhana.

Acara ini menghimpunkan pakar, pengendali utiliti dan komuniti penyelidik untuk bertukar pengetahuan, memupuk kerjasama serta mengetengahkan penyelesaian terhadap cabaran air dan sanitasi dunia.

Bertemakan “Air, Sanitasi dan Inovasi – Laluan Menuju Kemajuan dan Masa Depan Berdaya Tahan”, edisi tahun ini memberi tumpuan kepada penyelesaian merangkumi perkhidmatan air dan sanitasi, pembangunan bandar, hubungan antara bandar dan lembangan, serta peluang meningkatkan daya tahan iklim.

Acara ini turut mengetengahkan ucapan dasar oleh tokoh-tokoh ternama sektor air yang berkongsi pengalaman mereka dalam menghasilkan dan melaksanakan penyelesaian inovatif.

Peserta juga berpeluang membentangkan dapatan terkini serta berkongsi perspektif profesional masing-masing.

Selesai menghadiri WDCE 2025, Premier Sarawak dijadual meneruskan lawatan kerja ke China dari 10 hingga 13 Disember ini.