BINTULU: Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu perlu menumpukan kepada pembangunan modal insan yang kompeten dan berkemahiran tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak , Iskandar Turkee, berkata, ini bagi menghasilkan tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk menyokong sektor-sektor strategik Sarawak termasuk minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan moden, dan tenaga boleh diperbaharui.
“ADTEC berperanan penting dalam melahirkan graduan yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara, seiring visi Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan Minggu Silaturrahim Sesi 1/2025 ADTEC Bintulu, di sini, semalam.
Justeru, Iskandar berharap pelajar ADTEC Bintulu terus berusaha meningkatkan kemahiran dan membantu Sarawak mencapai matlamat pembangunan yang lebih gemilang pada 2030.
