KUCHING: Syarikat penerbangan AirBorneo menyasarkan mengendalikan sebanyak enam laluan penerbangan menjelang penghujung 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata ini melalui operasi penerbangan serantau untuk hab jet di sini manakala Kota Kinabalu dan Miri akan terus berfungsi sebagai hab turboprop.
“Menjelang akhir 2026, kita mungkin akan menyaksikan kira-kira tiga destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa.
“Namun, ini bergantung kepada slot serta kelulusan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Iftar AirBorneo Bersama Media, di sini, semalam.
Megat Ardian berkata, langkah tersebut sebagai sebahagian fasa kedua pelan pengembangan syarikat penerbangan berkenaan yang dijadual bermula Julai tahun ini.
“Kami juga akan menggunakan pesawat Boeing 737-800 (B737-800) bagi mengendalikan penerbangan ke destinasi tersebut,” katanya.
Megat Ardian menambahkata, AirBorneo turut menandatangani perjanjian untuk menerima lapan pesawat ATR 72-600 baharu bermula tahun depan bagi menggantikan pesawat ATR 500 sedia ada.
Beliau menjelaskan, fasa satu AirBorneo melibatkan pengambilalihan MASwings pada 1 Januari lalu dan sehingga pertengahan Mac ini membawa hampir 100,000 penumpang.
Manakala, prestasi ketepatan masa penerbangan (OTP) berada pada tahap yang baik iaitu sekitar 89 hingga 90 peratus.
