Ambilan pelajar baharu Kolej SIDMA Sarawak bermula 28 Februari ini

KUCHING: Kolej SIDMA Sarawak akan memulakan ambilan pelajar baharu bagi kemasukan Mac 2026 pada 28 Februari dan 1 Mac ini.

Pengambilan pelajar sepanjang tahun itu meliputi pelbagai program yang ditawarkan bermula sijil kemahiran, diploma dan ijazah sarjana muda kepujian yang boleh dimohon bagi pengambilan sesi Mac ini.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi Kolej SIDMA Sarawak di talian 082-413811/ 01135349909.

Sementara itu, pada hari ini Kolej SIDMA Sarawak menganjurkan Program Pengagihan Bubur Lambuk sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej berkenaan.

Program itu bertujuan memupuk ukhuwah dalam kalangan pelajar dan kakitangan kolej menerusi program gotong-royong bagi menyiapkan bubur lambuk.

Selain diagih kepada kakitangan dan pelajar kolej, bubur lambuk turut diberi kepada masyarakat sekitar dan orang perseorangan.

Program Pengagihan Bubur Lambuk dirasmikan Pengarah Urusan Kolej SIDMA Sarawak, Marzuki Umi bersama Ketua Eksekutif kolej, Qayyum Murni dan turut dihadiri Pengarah Kewangan, Hanizah Mohidin serta kakitangan kolej.

Sementara itu, Marzuki memberitahu Kolej SIDMA Sarawak meneruskan Jelajah Asnaf yang bakal memberi manfaat kepada golongan memerlukan di beberapa kawasan terpilih sekitar Sarawak sempena bulan Ramadan.

Jelajah Asnaf katanya, dijadualkan pada minggu ketiga Ramadan, melibatkan agihan bakul makanan serta sumbangan tunai kepada golongan asnaf dan mualaf di beberapa kampung antaranya Sebuyau, Simunjan, Serian, Bako, Emang dan Menan.

“Sebanyak 120 bakul makanan akan diagihkan mengikut keperluan setiap lokasi. Antaranya, 30 penerima di Sebuyau, manakala Emang dan Peludam masing-masing melibatkan 10 penerima. Setiap bakul mengandungi barangan keperluan asas serta sumbangan wang tunai,” katanya.

Program kebajikan itu katanya, dilaksanakan lebih tiga dekad lalu, seiring dengan penubuhan Kolej SIDMA Sarawak kira-kira 35 tahun lalu.