BIMP-EAGA: Kerjasama erat dipertingkat jayakan visi serantau

FILIPINA: Malaysia komited meningkatkan kerjasama serantau dan pertumbuhan ekonomi mampan di bawah Kerangkakerja Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama erat itu perlu dipertingkatkan dalam kalangan kerajaan untuk menjayakan visi bersama mengukuh, memakmurkan dan membina daya tahan BIMP-EAGA.

“Kerjasama erat itu harus fokus kepada menyelaraskan dasar, menambahbaik kesalinghubungan, meningkatkan fasiliti di sempadan dan saling menyokong,” katanya berucap pada majlis pertemuan Menteri BIMP-EAGA di Samal Islam.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan turut mengetengahkan sumbangan aktif Sarawak dalam inisiatif serantau dengan menggariskan kemajuan Malaysia-EAGA dalam sektor kesalinghubungan, kerjasama tenaga, kelestarian dan fasiliti perdagangan.

Projek infrastruktur utama termasuk Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan Pesisir Kawasan Utara, kajian kemungkinan Kereta Api Trans-Borneo, Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang, laluan maritim baharu seperti Zamboanga-Sandakan dan Davao-Labuan yang dijangka mengurangkan kos lojistik sehingga 30 peratus, katanya dalam kenyataan di sini.

Projek mengembangkan tenaga boleh diperbaharui Sarawak menyasarkan 10GW menjelang tahun 2030 dan 15GW menjelang 2035, dan inisiatif perangkap, penggunaan dan simpanan karbon (CCUS), ekonomi biru dan hijau, turut dinyatakan sebagai model untuk pembangunan karbon rendah dan pertumbuhan mampan di rantau ini.

Beliau turut menyatakan inisiatif membangunkan modal insan melalui kerjasama TVET dan pentingnya penyertaan sektor swasta dan mengalu-alukan Majlis Perniagaan BIMP-EAGA untuk memulakan projek strategik menggabungkan hab Kad BEC dan e-dagang di Sungai Tujuh.

Awang Tengah juga menegaskan kesediaan Sarawak untuk mengukuhkan perkongsian melalui Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) dan pejabat yang akan dibuka di Kalimantan Barat dan mempelawa anggota BIMP-EAGA bekerjasama dalam membangunkan industri halal, teknologi tinggi dan rendah karbon.

“Dengan kerjasama erat semua anggota, kita boleh menjayakan visi 2030. Bersama kita bangunkan BIMP-EAGA yang benar-benar bersatu, kemakmur dan dinamik untuk generasi akandatang,” katanya.

Hadir sama ialah Penasihat (SME) MINTRED, Dato Sri Mohd. Naroden Majais dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Premier Sarawak, Datu Lester Mathew.