KUCHING: Keberkesanan pendekatan Sarawak dalam menangani isu dadah melalui Pusat Khidmat Sehenti (OSC) menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Dadah dan Jenayah (UNODC), yang mengadakan lawatan rasmi ke Sarawak hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, delegasi UNODC diberi penerangan lengkap mengenai OSC yang menggabungkan usaha pencegahan, rawatan, pemulihan dan advokasi, melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik.
“Pendekatan holistik itu membolehkan pengguna dadah menerima rawatan dan bimbingan untuk kembali berfungsi dalam masyarakat, sekali gus menonjolkan keberkesanan model bersepadu Sarawak,” katanya kepada selepas menerima kunjungan hormat delegasi UNODC, hari ini.
Ketua UNODC Malaysia, Eric Van Der Veen menyifatkan pendekatan Sarawak selaras piawaian antarabangsa, khususnya dalam memastikan keseimbangan antara pencegahan dan rawatan.
“Lawatan ini juga menjadi peluang untuk memahami secara dekat operasi OSC. Lawatan ini susulan pertemuan awal mereka di Bali dua bulan lalu, yang turut melibatkan pakar antarabangsa dalam bidang penyalahgunaan dadah, bagi memperkukuh kerjasama jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Fatimah menambah, Sarawak merekodkan 11,408 tangkapan berkaitan dadah melalui 8,389 operasi pada 2024, dengan 80 peratus daripada mereka positif dadah — angka yang meningkat berbanding 2018.
“Kerajaan negeri turut merancang memperkukuh OSC melalui latihan, pembangunan modul berasaskan bukti, sokongan pakar dan pengakreditan ahli serta fasiliti OSC, dengan kerjasama UNODC bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan isu dadah di Sarawak,” katanya.
