KUCHING: Delegasi Pejabat Ombudsman Sarawak pagi semalam mengadakan lawatan kerja ke Equal Opportunity Commission (EOC), Perth, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke Austraia.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa serta menimba pengetahuan mengenai amalan terbaik dalam bidang ketelusan pentadbiran awam dan penyelesaian aduan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya bersama Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff, mengetuai delegasi Sarawak dalam rangka lawatan kerja rasmi itu, kata Pejabat Ombudsman Sarawak dalam satu kenyataan di sini.
Dalam lawatan tersebut, delegasi Sarawak mengadakan pertemuan rasmi dengan Western Australian Commissioner for Equal Opportunity Commission, Dr. John Byrne.
Lawatan itu memberi peluang kepada Pejabat Ombudsman Sarawak untuk memahami dengan lebih mendalam sistem pengendalian aduan, dasar serta mekanisme penyelesaian yang dilaksanakan oleh Equal Opportunity Commission (EOC) dalam menangani aduan yang diterima dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Delegasi juga dibawa meninjau keadaan susun atur pejabat dan operasi Ombudsman for Equal Opportunity Commission, dengan aspek keselesaan pengadu diutamakan.
Di samping itu, keselamatan pegawai ombudsman turut diambil kira sewaktu proses mediasi dijalankan. Pejabat ini turut dikendalikan oleh individu Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai tanda bahawa prinsip kesamarataan dan inklusiviti benar-benar dipraktikkan dalam pelaksanaan tugas dan persekitaran kerja.
Perbincangan turut menyentuh peranan ombudsman dan institusi berkaitan dalam memperkukuh sistem tadbir urus, ketelusan, dan akauntabiliti perkhidmatan awam, di samping membincangkan potensi kerjasama pada masa akan datang dan peningkatan kecekapan pengendalian aduan serta menyebarluaskan peranan dan fungsi institusi Ombudsman.
Lawatan ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan responsif terhadap keperluan rakyat. Ini selaras dengan pelaksanaan Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 dan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 yang menekankan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
