Bangunan baharu SK Kuala Serupai dilengkapi kemudahan moden

BINTULU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Serupai kini mempunyai bangunan baharu yang lebih kondusif bagi proses pembelajaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata bangunan itu menempatkan bilik darjah, makmal dan kemudahan moden supaya guru dapat mengajar dengan lebih inovatif.

“Manakala, murid pula lebih bersemangat untuk belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan baharu SK Kuala Serupai di sini, hari ini.

Iskandar turut menegaskan kejayaan menyiapkan bangunan itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Hadir sama, Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang@Endawie, Pegawai Pendidikan Daerah Tatau-Sebauh, Gani Egit dan Guru Besar SK Kuala Serupai, Marylin Entawamat.