Pesanan TYT menjadi kekuatan Sarawak

KUCHING: Video dokumentari khas Yang di-Pertua Negeri Sarawak ‘Aspirasi’ boleh dianggap berfungsi sebagai jambatan emas sejarah Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dokumentasi khas ini akan membolehkan generasi Y dan Z dan generasi akan datang untuk menyelami secara langsung peranan signifikan institusi Yang Di-Pertua Negeri dalam Perlembagaan Negeri.

Legasi kepimpinan dan ketokohan Yang di-Pertua Negeri akan menjadi tiang seri kedaulatan, perpaduan dan keharmonian Bumi Kenyalang, katanya melancarkan Video Dokumentari Khas TYT Sarawak ‘Aspirasi’ di sini hari ini.

Video berdurasi selama 12 minit itu boleh ditonton dalam YouTube dan Facebook.

Menurut Fatimah, pelancaran video dokumentasi khas itu adalah manifestasi inisiatif murni dan penuh iltizam dari pihak Astana Negeri.

“Ia adalah sebuah rakaman visual yang bukan sahaja merakamkan biodata rasmi seorang negarawan, tetapi turut menelusuri secara intim perjalanan peribadi, perjuangan, dan pengorbanan seorang pemimpin yang telah melunaskan seluruh hayatnya demi kemajuan rakyat dan kemakmuran negeri yang tercinta,” tegas beliau.

Lebih penting lagi, katanya, ia memberi peluang untuk rakyat semua menyaksikan sendiri semangat jitu dan aspirasi tinggi Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam memacu pembangunan dan memastikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sarawak sentiasa terpelihara.

“Tun Pehin Sri adalah cerminan unggul kepada nilai-nilai terbaik yang dipegang erat oleh setiap anak Sarawak: kesabaran seorang negarawan, kebijaksanaan seorang pemimpin, dan semangat perpaduan yang tidak berbelah bahagi.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, baik sebagai Yang di-Pertua Negeri mahupun dalam kapasiti kepimpinan terdahulu, beliau sentiasa mengukir pesanan yang amat mendalam, yang saya kira menjadi mantra kepada kekuatan negeri ini,” katanya.

Fatimah menegaskan, dokumentari ini akan menonjolkan momen-momen keramat ketika TYT Tun Pehin Sri menggunakan kedudukan mulianya untuk menjadi Payung Teduh bagi semua kaum, semua agama.

“Beliau memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak yang akan terpinggir daripada arus pembangunan negeri,” tambah beliau.