GPS perjuangkan tuntutan minyak, gas Sarawak, tiada keperluan jalin kerjasama dengan DAP – Fadillah

SAMARAHAN: Cadangan DAP bekerjasama dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperjuangkan hak minyak dan gas Sarawak melalui penubuhan jawatankuasa dwipartisan menimbulkan keraguan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof mempersoalkan tujuan sebenar mereka mengusulkan cadangan itu.

Beliau mempertikaikan kesungguhan DAP dalam isu tersebut, memandangkan selama ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah lama memperjuangkan hak tersebut dengan konsisten, sementara DAP lebih banyak mengkritik daripada menunjukkan komitmen sebenar.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada ini tujuan politik atau ada keikhlasan. Perjuangan (hak minyak dan gas) di bawah GPS memang jelas dan konsisten sejak dulu. Tetapi DAP, saya tidak pasti sejauh mana keikhlasan dan kesungguhan mereka.

“Jika mereka ikhlas, kenapa sebelum ini lebih banyak mengkritik GPS dalam perjuangan ini?” soalnya pada sidang media selepas Program Santuni Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kampung Empila, di sini, hari ini.

Fadillah juga menegaskan bahawa DAP tidak perlu menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyokong perjuangan hak Sarawak, tetapi sebaliknya cukup dengan memberi sokongan yang lebih kuat di Parlimen.

“Sokonglah di Parlimen, beri suara yang kuat di sana. Tak perlu jawatankuasa. Mereka sendiri sudah tahu apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, DAP Sarawak mencadangkan penubuhan jawatankuasa bipartisan dengan Parti PBB untuk memperjuangkan hak minyak dan gas negeri.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) melalui memorandum kepada Pejabat Premier Sarawak, yang menggariskan rancangan kerjasama politik antara DAP dan Parti PBB untuk memperkukuh kuasa negeri dalam menguruskan sumber minyak dan gas.

Beliau tidak menolak cadangan DAP itu bermotifkan politik,
seolah-olah tidak yakin dengan jawatankuasa sedia ada iaitu Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63) dan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, jawatankuasa ditubuhkan oleh Anwar sebenarnya sudah mencukupi yang mana ia telah berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan setakat ini hanya di bawah Kerajaan Madani sahaja.

Justeru, beliau melihat tiada keperluan untuk penubuhan jawatankuasa lain.

Jelasnya lagi, perjuangan minyak dan gas boleh disumbangkan melalui suara di Parlimen.