DARO: Pembangunan sebenar tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan ekonomi, tetapi turut melihat kepada kesejahteraan sosial rakyat, tegas ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad.
Beliau berkata, Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan inklusif tanpa ada yang tersisih.
Melalui program turun padang, katanya pelbagai agensi membuka kaunter perkhidmatan bagi memudahkan penduduk luar bandar.
Menurutnya, pendekatan ini membantu merapatkan jurang perkhidmatan dan memastikan masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“RPS juga menjadi platform meningkatkan ilmu dan kesedaran mengenai kepentingan pembangunan sosial menuju negeri maju 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program RPS Bahagian Mukah 2025, di Dewan Kampung Pangtray, di sini, hari ini.
Beliau menggesa masyarakat memanfaatkan program seperti ini demi kesejahteraan hidup dan menyokong aspirasi pembangunan negeri.
Program tersebut dianjurkan KPWK dengan kerjasama Pejabat Residen Mukah dan Pejabat Daerah Daro.
