Dasar Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak sedang digubal

KUCHING: Pembangunan menyeluruh kanak-kanak di negeri ini diberikan keutamaan melalui pelbagai dasar dan inisiatif.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, langkah itu untuk membina asas modal insan berkualiti untuk masa depan negeri yang makmur dan inklusif.

“Program seperti ini wadah memperkasakan suara dan potensi kanak-kanak sebagai pemacu masa depan negeri.

“Kita bukan hanya meraikan kanak-kanak, tetapi memberi mereka ruang untuk bersuara. Mereka adalah pelaburan sosial jangka panjang bagi Sarawak yang berdaya tahan dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-kanak Sarawak 2025 mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan kesejahteraan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama seluruh masyarakat di bawah semangat ‘Whole-of-Society Approach’ melibatkan agensi kerajaan, sektor swasta, NGO serta komuniti setempat.

Katanya lagi, Kerajaan Sarawak kini sedang menggubal Dasar Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak yang bakal menjadi kerangka utama ke arah pembangunan menyeluruh kanak-kanak di negeri ini.