KUCHING: Sejumlah 108 tapak jualan membabitkan 82 jualan makanan, 22 jualan minuman dan empat jualan berpanggang disediakan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Bazar Ramadan Satok pada tahun ini.
Bazar Ramadan Satok itu beroperasi mulai hari ini hingga 20 Mac ini, menjual pelbagai jenis menu makanan dan minuman.
Majlis perasmian Bazar Ramadan Satok disempurnakan Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy & PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki bersama Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman.
Pada majlis tersebut turut diadakan majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada 20 penerima golongan Asnaf di bawah DUN N8 Satok yang merupakan hasil sumbangan terkumpul daripada Pengurusan Surau DBKU.
Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian penerima khususnya pada Ramadan ini.
Pada masa sama, DBKU mengingatkan orang ramai, khasnya para peniaga dan pengunjung agar menjaga kebersihan sepanjang tempoh operasi bazar dengan mempromosi pelupusan sisa makanan dan bungkusan dengan berhemah.
Ia sejajar dengan prinsip 3R iaitu ‘Reduce, Reuse dan Recycle’ yang merupakan komponen penting dalam memastikan agar semua warga bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
