KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa meninjau keperluan Ramadan di Majma Mall di sini hari ini.
Tun Pehin Sri serta isteri tiba sekitar jam 1 petang dan disambut oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
Kunjungan tersebut bertujuan meninjau persiapan menyambut bulan Ramadan termasuk mendapatkan barangan keperluan, selain melihat secara dekat penganjuran Majma Raya Fest yang menjadi antara tarikan utama menjelang Aidilfitri.
Selain itu, ia turut mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam menyemarakkan suasana Ramadan serta menggalakkan penglibatan komuniti melalui aktiviti keagamaan dan ekonomi setempat.
