Demi kesejahteraan rakyat, Sarawak setuju tanggung kos peralatan Pusat Kanser

KUCHING: Pembangunan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan menerima suntikan tambahan RM500 juta daripada kerajaan negeri untuk kelengkapan peralatannya, menjadikan kos projek keseluruhan kini mencecah RM1.5 bilion.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1 bilion untuk pembinaan hospital, dengan pembiayaan awal ditanggung Sarawak dan bayaran balik akan dibuat secara ansuran oleh Kerajaan Persekutuan.

“Pusat ini akan menyediakan rawatan kanser yang lebih mudah, cepat, dan berkualiti untuk rakyat negeri ini.

“Kerajaan Persekutuan meminta Sarawak menanggung sepenuhnya kos peralatan perubatan. Kita setuju kerana keutamaan adalah kesejahteraan rakyat terutama pesakit di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, usaha itu akan memudahkan pesakit, tanpa perlu menanggung kos dan kesulitan perjalanan ke luar negeri.

Katanya, walaupun pembinaan bangunan dibiayai bersama dengan Persekutuan, tambahan RM500 juta untuk peralatan perubatan ditanggung sepenuhnya Sarawak.

“Keputusan ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem kesihatan dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.