Dewan serbaguna PKMS dijangka siap Mac 2026

KUCHING: Projek dewan serbaguna Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Jalan Patingan di sini, bakal siap pada Mac 2026.

Menurut Yang Dipertua PKMS, Dr. Wan Ali Tuanku Madhi, dewan berkapasiti 1,200 orang itu yang dibina dengan kos melebihi RM20 juta turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serba moden dan bakal menjadi pusat penganjuran pelbagai aktiviti masyarakat.

“Kami berjumpa Premier Sarawak hari ini untuk memaklumkan perkembangan pembinaan Dewan Serbaguna PKMS.

“Setakat ini, kerja-kerja pembinaan sedang berjalan dan dijangka siap menjelang Mac 2026,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Wan Ali turut menjemput Premier Sarawak untuk menghadiri Festival Marhaban Borneo dan Pertandingan Zikir Marhaban Seluruh Sarawak yang akan diadakan pada 1 dan 2 November 2025 di Hikmah Exchange, Kuching.

Menurutnya, festival yang pertama kali diadakan bakal menghimpunkan penyertaan pasukan dari seluruh Sarawak serta antarabangsa termasuk Sabah, Brunei Darussalam, dan beberapa wilayah di Kalimantan seperti Sanggau, Kota Singkawang, Sambas, Mempawah, Sekadau dan Kalimantan Timur.