SARIKEI: Disiplin dan ilmu pengetahuan perlu dijadikan bekalan utama pelajar dalam membentuk masa depan selain memanfaatkan peluang pendidikan sedia ada.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, setiap pelajar mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri.
“Gunakan peluang yang ada, belajar bersungguh-sungguh dan manfaatkan segala bantuan yang disediakan,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Mansang Anak Sarawak Zon Sarikei 2026 di SMK Sarikei Baru, hari ini.
Beliau berkata, usaha membangunkan generasi muda perlu disokong dengan dorongan, bimbingan dan ruang untuk mereka mengembangkan potensi diri.
Setakat ini katanya, hampir RM1 juta disalurkan dalam bentuk insentif kepada pelajar cemerlang di kawasan Parlimen Tanjong Manis sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka serta pemangkin untuk terus berusaha.
“Antara yang menerima insentif ini termasuk seramai 121 pelajar dari Sarikei berikutan prestasi membanggakan dalam bidang pendidikan,” jelasnya.
Beliau turut menghargai kerjasama Persatuan Sukarelawan Sarawak, Nyambung Blaja, PETROS, TEGAS, CENTEX dan Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam menjayakan program tersebut.
