KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menganugerahkan Anugerah Khas kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, hari ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufik Johari, sempena Anugerah Sukan Pekak Kebangsaan 2025 (ASPN 2025) di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur.
Anugerah Khas ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, kepimpinan, dan sokongan berterusan Fatimah terhadap komuniti pekak, terutamanya dalam menjayakan penganjuran Sukan Orang Pekak Malaysia ke-22 (SOPMA XXII) di Sarawak.
Kepimpinan inklusif beliau memastikan sukan pekak mendapat pengiktirafan dan sokongan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Dalam ucapannya, Fatimah menyatakan penghargaan atas pengiktirafan tersebut dan menegaskan komitmennya untuk terus memajukan pembangunan sukan secara inklusif.
“Sokongan berterusan terhadap sukan inklusif akan terus diperkukuh bagi melahirkan atlet bertaraf dunia,” katanya.
