BINTULU: Yayasan Bintulu Port mengagihkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada masjid, surau dan institusi pendidikan di sini, hari ini.
Sumbangan disampai menerusi Program Jelajah Kasih Yayasan Bintulu Port dan Tanggungjawab Sosial Korporat Bintulu Port Prihatin, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyantuni keperluan masyarakat setempat serta menyokong pembangunan pendidikan dan ummah.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Ruslan Abdul Ghani, berkata sumbangan itu melibatkan empat masjid, tiga surau, empat surau sekolah serta empat institusi pendidikan, termasuk madrasah dan sekolah tahfiz.
“Selain itu, bantuan khas turut disalurkan kepada sekolah angkat Bintulu Port iaitu Surau SMK Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan BPHB, Maslihah Tioh.
