KUALA LUMPUR: Kelestarian menjadi teras utama strategi pembangunan Sarawak selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) yang menekankan pertumbuhan inklusif dan berdaya tahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hala tuju itu diperkukuh melalui tiga kerangka utama iaitu Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, Pelan Induk Kelestarian Sarawak dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak ke arah pembentukan ekonomi hijau.
Menurut beliau, sektor tenaga menjadi pemangkin transformasi negeri melalui usaha penyahkarbonan industri, peluasan tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan hidrogen hijau, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga lestari serantau.
“Tenaga bersih bukan sahaja menyokong pembangunan industri Sarawak, malah memenuhi keperluan tenaga rakan serantau, menjadikan Sarawak rakan tenaga mampan yang dipercayai di ASEAN,” katanya.
Beliau berucap pada UNGCMYB Members Celebration Night 2026: The Sarawak Narrative – Driving Leadership in Private Sector Sustainability, di sini malam tadi.
Abang Johari menegaskan dunia kini memasuki fasa tindakan pantas terhadap agenda kemampanan, dengan era kelestarian secara beransur-ansur telah berakhir.
“Ini bukan lagi masa untuk perbincangan semata-mata, tetapi masa untuk bertindak secara berani dan terukur,” tegasnya.
Pada majlis sama, beliau turut menerima Sustainability Visionary Award sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan Sarawak dalam menterjemahkan dasar hijau kepada pelaksanaan sebenar.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan strategik beliau dalam melaksanakan pembangunan lestari yang menyeluruh dan berimpak tinggi di Sarawak.
Dalam majlis sama, Kementerian Tenaga dan Kelestarian Sarawak (MEESty) turut menerima Forward Faster Sustainability Nexus Award atas peranannya menyediakan kerangka dasar serta sokongan institusi bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif kelestarian, khususnya melibatkan sektor swasta.
