KUCHING: Generasi muda Sarawak dipersiapkan sebagai pengganti dalam menerajui bidang teknologi dan semikonduktor pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini perlu beralih daripada sekadar menggunakan teknologi kepada mencipta, memiliki dan mengkomersialkan teknologi sendiri.
“Impian kita ialah memiliki reka bentuk cip sendiri yang dicipta oleh anak Sarawak tetapi digunakan oleh seluruh dunia,” katanya semasa berucap di Program Sarawak Semiconductor Flagship, di sini, hari ini.
Menurutnya, perubahan itu penting bagi memastikan kesinambungan agenda transformasi ekonomi Sarawak apabila generasi baharu mengambil alih peranan dalam industri bernilai tinggi.
Beliau berkata, cip yang direka pelajar tempatan menerusi SMD IC Design Competition 2025 dan difabrikasi di X-Fab Kuching membuktikan anak Sarawak mempunyai keupayaan menghasilkan teknologi sendiri.
Pencapaian itu, katanya, menjadi asas kepada usaha melahirkan lebih ramai pereka litar bersepadu, jurutera dan inovator tempatan bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor.
“Peluang itu ada di depan mata dan masa depan anak-anak muda serta jurutera amat cerah kerana industri ini memerlukan kira-kira 500 jurutera,” tambahnya.
Abang Johari berkata, keperluan tenaga mahir turut merangkumi pembangunan generasi baharu cip di Western Digital dan X-Fab, sekali gus membuka ruang kepada bakat tempatan untuk mengambil peranan lebih besar.
Beliau berkata, Sarawak turut menyasarkan pembangunan satelit kiub milik kerajaan negeri menjelang 2030 bagi memperoleh data bumi baharu termasuk data berdaulat untuk perancangan ekonomi strategik.
Dalam masa sama, beliau mahu Sarawak bergerak daripada kekuatan bahagian belakang industri semikonduktor kepada bahagian hadapan yang melibatkan teknologi, reka bentuk dan cip sendiri.
Abang Johari yakin kesinambungan usaha itu mampu melahirkan generasi pengganti yang bukan sahaja menguasai teknologi, malah menghasilkan cip Sarawak untuk kegunaan global termasuk dalam teknologi angkasa lepas.
