KUCHING: Esplanade Telaga Air bakal menjadi tumpuan ramai dengan penganjuran Pesta Regata Telaga Air mulai 1 hingga 3 Disember ini.
Pesta selama tiga hari itu akan dipenuhi dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak 1,400 tempat letak kereta khusus disediakan untuk peserta sempena regata itu.
“Penganjur telah mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta tersebut di samping menyediakan perkhidmatan ulang alik bagi pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pesta Regata Telaga Air yang turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Nancy Shukri di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abdul Karim berkata, seramai 19 pasukan bakal berentap dalam acara lumba perahu yang telah memasuki edisi ke-16 ini dengan menjanjikan hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000 termasuk piala.
“Selain itu, sebanyak 13 jenis aktiviti lain seperti Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah Rendah, Pertandingan Sepak Takraw, futsal, karaoke dan pelbagai lagi,” katanya.
“Penganjuran pesta tersebut juga mampu memacu ekonomi Telaga Air termasuk sosio-ekonomi penduduk setempat melalui aktiviti keusahawanan.
“Pelan induk jangka lama telah disediakan bagi membangunkan Telaga Air menjadi pusat pelancongan dan pusat destinasi makanan laut seperti membangunkan jalan raya baharu,” tambah beliau.
