KUCHING: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mengendalikan kira-kira 34,534 pergerakan pesawat sehingga 30 September 2023 membabitkan 2,574 penerbangan antarabangsa dan 31,960 penerbangan domestik.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, LTAK merupakan salah sebuah daripada enam lapangan terbang berstatus antarabangsa di Malaysia dan keempat paling sibuk selepas Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan penerbangan awam dan keupayaan operasi lapangan terbang, kerajaan bersetuju menambahbaik dan menaik taraf sistem kawalan trafik udara, katanya merasmikan Pengoperasian Radar di LTAK di sini.
Pengoperasi radar itu dikendalikan di bawah Projek Penggantian dan Menaik taraf Sistem Pengurusan Trafik Udara (KKFIR) di Sabah dan Sarawak membabitkan kos sebanyak RM183 juta.
Beliau berkata, projek itu melengkapkan rangkaian sistem pengawasan radar terutamanya liputan radar di Kuching dan liputan ruang udara secara menyeluruh di negeri ini.
Malah, tambahnya, data radar itu juga dikongsi oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bersama Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang bertanggungjawab memastikan ruang udara di negeri Sabah dan Sarawak adalah selamat daripada pencerobohan anasir-anasir luar.
Skop projek KKFIR, katanya, termasuk penggantian radar di Kuching dan Kota Kinabalu, penambahan komponen ADS-B di Kuching, Bintulu dan Kota Kinabalu, penggantian peralatan komunikasi di Miri dan penggantian automasi pengurusan trafik udara di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuching, Kota Kinabalu dan di Menara Kawalan Sibu dan Tawau dan Menara Kawalan di Miri.
“Projek-projek ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan penyampaian berimpak tinggi kepada rakyat di Sarawak khasnya dan orang awam amnya,” tegas beliau.
Menurut Hasbi, dengan peningkatan kualiti pengurusan trafik udara itu, industri penerbangan di negeri ini dapat berkembang dengan pesat dan seterusnya boleh menambah daya saing dari segi ekonomi, komersial dan pelancongan selaras dengan hasrat kerajaan.
