KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Maybank mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat TDM diketuai Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Adnan Hashim bertujuan mendapatkan pencerahan berkaitan keselamatan sempadan Sarawak-Indonesia.
Kunjungan juga bagi membincangkan maklumat berkaitan aset yang dapat membantu tentera darat menjalankan tugas di sepanjang sempadan itu.
Ini supaya aktiviti pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan barang dan jenayah rentas sempadan dapat diberi perhatian.
Hadir sama ialah Komander Rejimen 511 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Abang Mohamad Abang Marzuki, Pegawai Memerintah Batilion Ke-11 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Leftenan Kolonel Mohd Fuad Nazri, Pegawai Pemerintah 3 SSB dan Leftenan Kolonel Razian Abdul Rahim.
Selepas itu, Premier Sarawak menerima kunjungan hormat tahunan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli dan menyerahkan zakat Maybank Islamik berjumlah RM1,022,979.60 untuk membantu rakyat Sarawak.
Kunjungan itu agar Maybank memahami arah tuju Kerajaan Sarawak, mencari peluang membantu merealisasikan cita-cita tersebut dan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta bakal mengumumkan laporan kewangan mereka yang kekal utuh.

