KUCHING: Buat julung kali Kapit dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2023 pada 1 hingga 3 Disember ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan itu bakal dihadiri ribuan belia dari seluruh bahagian negeri ini.
Katanya, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan bagi memeriahkan sambutan hari tersebut.
“Secara spesifik saya memilih Kapit kerana mahukan program besar-besaran seperti Hari Belia ini diadakan di Kapit,” katanya.
Sementara itu, pada majlis pra pelancaran Hari Belia Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II di sini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato Gerald Rentap Jabu yang mewakili Abdul Karim berkata, matlamat program untuk memupuk semangat daya saing sebagai persediaan masa hadapan pembangunan negara.
“Ia merupakan platform mencungkil bakat baharu, kemahiran unik dan potensi belia,” katanya.
Selain itu, Hari Belia sebagai menghargai bakat dan pencapaian belia yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri ini.
Perasmian akan dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2 Disember di Dewan Suarah Kapit.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya ialah pemasangan seni awam, aktiviti kerohanian, ‘Youth X-Tive’, glamping, ‘Fun Run’, Konsert Jiwa dan banyak lagi.
Konsert Jiwa pula akan menampilkan penyanyi terkenal Dato Jamal Abdillah, Zaki Yamani dan Dewi Seriestha.
