KUCHING: Rakyat Sarawak diminta agar tidak memperbesarkan lagi isu kemasukan rakyat Palestin ke Sarawak sehingga boleh memudaratkan keharmonian kaum di negeri ini.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan alat untuk memecahbelahkan perpaduan di Sarawak.
Merujuk kepada pandangannya dan pandangan Naib Yang di-Pertua Parti PBB Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai penerimaan pelarian Palestin ke Sarawak, beliau berkata ia hanya pendapat peribadi masing-masing dan tidak bermaksud mewujudkan sebarang konflik.
“Kita hanya meluahkan kebimbangan terhadap negeri Sarawak. Namun, tidak berniat untuk menjejaskan keharmonian dalam kalangan Parti PBB melibatkan hal tersebut,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di platform sosial media, hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, Parti PBB adalah keutamaan bagi Sarawak.
“Mungkin kita bertelagah sama seperti rumah tangga terdapat sedikit perselisihan, namun kita tetap bersatu seperti keluarga.
“Tidak ada yang dapat merenggangkan Parti PBB. Harapan mereka untuk memecahbelahkan parti tidak akan terjadi kerana kita sentiasa bersama,” katanya.
Pada masa sama, Timbalan Setiausaha Agung Parti PBB Dato’ Ibrahim Baki berkata, Parti PBB merupakan parti yang mengamalkan toleransi dan perpaduan.
Sehubungan itu katanya, perbezaan pendapat boleh diterima selagi ia tidak memudaratkan perpaduan parti.
“Parti PBB sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat di Sarawak kerana ia adalah antara perjuangan utama parti.
“Kami mahu memastikan Sarawak boleh bergerak seperti sekarang dengan masyarakat berbilang kaum dapat terus hidup bersama secara harmoni. Justeru, tidak ada isu perkauman atau agama di sini,”tegasnya
