ICAN rekod aktiviti pensyarah, pelajar UiTM Cawangan Sarawak dilancar

SAMARAHAN: Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak melancarkan Directory Industry, Community and Alumni Network (ICAN) bagi universiti berkenaan.

UiTM Cawangan Sarawak dalam kenyataan di sini, hari ini, ICAN adalah hasil inisiaf Unit Jaringan Industri, Unit Jaringan Komunikasi, Unit Alumni serta Tunas Usahawan bertujuan mendokumentasi pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan oleh pensyarah serta staf unversiti itu sejak 2017 hingga 2025.

“Kira-kira 400 rekod aktiviti dan program berfokuskan industri, komunikasi, alumni dan tunas usahawan dimuatkan dalam direktori ini,” menurut universiti berkenaan.

Direktori ini juga merekodkan sumbangan signifikan alumni UiTM Cawangan Sarawak yang kembali menyalurkan kepakaran, pengalaman dan sokongan dalam pelbagai program universiti.

ICAN juga menampilkan maklumat kerjasama dan kolaborasi bersama pelbagai agensi serta kementerian yang telah memainkan peranan pentng dalam menyokong dan menjayakan aktiviti serta program universiti.

“UiTM Cawangan Sarawak juga terus memperkukuh hubungan dengan rakan industri melalui pelbagai inisiatif yang direkodkan dalam ICAN, termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA),” tambahnya.

Kerjasama ini membuka peluang luas dalam bidang penyelidikan, latihan, pemindahan ilmu serta pembangunan modal insan selaras dengan keperluan pasaran semasa.