KOTA SAMARAHAN: Sebagai institusi pendidikan tinggi yang berteraskan kecemerlangan, UiTM sentiasa bertekad untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.
Pro Cancelor UiTM, Profesor Dato Dr. Hassan Saib berkata, pelbagai langkah strategik dirangka bagi memperkukuh kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi.
Antara inisiatif itu adalah mempersiapkan pelajar mendepani cabaran dunia global, selaras dengan aspirasi UiTM untuk muncul sebagai universiti terkemuka dunia, katanya pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-102 (sidang pertama) di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak di sini hari ini.
Seramai 1,048 graduan, dari UiTM Cawangan Sarawak bergraduat bagi sesi ini.
Pada sidang pertama ini, menyaksikan penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma kepada 264 graduan.
Mereka dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Sukan dan Rekreasi, serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari.
Menurut Prof. Dr. Hassan, ini dizahirkan melalui penglibatan aktif dalam program antarabangsa seperti University Intercultural Exchange 2025: Mapping Sarawak to the World di Dublin, Ireland, serta Come Discover Bumi Kenyalang 2025 yang menghimpunkan pelajar dari Indonesia, China, dan Cambodia.
UiTM juga terus memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui jalinan strategik bersama industri dan agensi terkemuka misalnya, telah menjalinkan kerjasama erat dengan Konsortium Bumi Consultant and Services, Centre for Technology Excellence Sarawak, serta The Zamboanga Peninsula Polytechnic State University, Philippines, tegas beliau.
Beliau menegaskan, usaha itu membuahkan hasilmembanggakan dan laporan Kadar Bekerja Graduan UiTM 2024 mencatatkan 92.1 peratus, sekali gus mengangkat martabat UiTM apabila diiktiraf sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank.
Dunia masa kini, tambahnya, menuntut graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga teguh jati diri, berintegriti, serta mampu menjadi pemimpin yang menyinari masyarakat.
Beliau yakin, dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh di UiTM, graduan mampu memberi sumbangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada organisasi, masyarakat, dan tanah air tercinta.
“Ingat, selagi tubuh masih gagah, selagi kaki masih mampu melangkah, teruslah menimba ilmu, menggilap potensi diri, dan menabur bakti,” nasihat beliau.
