KUCHING: Peranan wanita di Sarawak amat penting dengan membawa perubahan besar dalam pembangunan sosial, ekonomi dan kepimpinan negeri.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, bilangan tenaga kerja wanita di Sarawak kini merangkumi lebih 47 peratus daripada tenaga kerja berdaftar di negeri ini.
Angka ini katanya, dijangka lebih tinggi apabila penglibatan wanita dalam sektor tidak formal turut diambil kira.
“Wanita di Sarawak hari ini bukan sahaja menyumbang secara signifikan dalam sektor formal, malah turut menjadi penggerak utama dalam sektor tidak formal. Peranan mereka dalam membina komuniti dan ekonomi tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan khas sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) 2025 : Mempercepatkan Tindakan, di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Menurut beliau, peranan wanita tidak hanya tertumpu kepada tanggungjawab domestik, malah semakin terserlah sebagai pendidik, penjaga kesihatan, pemimpin masyarakat serta pemacu kepada inovasi dan ekonomi.
“Penyertaan wanita dalam bidang pendidikan menunjukkan trend positif. Semakin ramai pelajar perempuan menamatkan pendidikan menengah dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” ucapnya.
Justeru, satu inisiatif baharu akan dilancar tahun ini iaitu anugerah khas kepada organisasi yang mengamalkan dasar mesra wanita, termasuk dasar kerja fleksibel, keselamatan di tempat kerja dan peluang kenaikan pangkat yang adil.
Anugerah ini jelas Fatimah akan diumumkan pada sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak kelak, bertujuan memberi pengiktirafan kepada majikan yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap kebajikan serta pembangunan kerjaya wanita.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Datu Dr. Sabariah Putit; Pengasas Bersama Kolej Universiti Kepimpinan Wanita Asia, Tan Sri Zarinah Anwar; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE), Joseph Lim Jit Sek; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua.
