Jadikan Parti PBB ejen perubahan

DARO: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ahli Hasan menggesa ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) supaya menjadikan kekuatan parti itu sebagal tunjang dalam meneruskan perjuangan politik untuk membangunkan negeri dan menuntut hak Sarawak yang terhakis.

Beliau yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB berkata, kejayaan parti dalam politik membawa rakyat bersama-sama untuk meneruskan perjuangan dalam semua sektor seperti bidang pertanian, perusahaan dan pendidikan.

“Parti PBB harus menjadi ejen perubahan untuk membawa rakyat berjaya menghadapi cabaran dalam dunia yang cepat berubah,” katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan N.43 Daro di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, perjuangan ahli-ahli pada masa sekarang bukan setakat menguatkan jentera parti tetpi
terus berjuang untuk kepentingan generasi akan datang.

Beliau menegaskan, untuk masa depan dan kepentingan generasi akan datang, Parti PBB harus meletakkan asas yang kukuh dan meneruskan perjuangan mengikut perkembangan.

Atas sebab itu, Yang di-Pertua Parti PBB melancarkan banyak inisiatif termasuk ekonomi baharu demi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak yang lahir dalam zaman teknologi baharu, tegas beliau.

Beliau turut memberi misalan suasana politik yang ditempuhi Parti PBB semasa peristiwa ‘Court Ming’ 1987, beliau berkata, ia perlu dijadikan iktibar supaya ahli-ahli tidak berpecah.

Semangat setia kepada pucuk kepimpinan dan berkhidmat dengan ikhlas membolehkan parti ini sebagai tulang belakang Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diyakini oleh rakyat, katanya.

“Sudah lebih lima dekad kita bersama dalam parti ini, perjuangan itu hendaklah dijelaskan kepada generasi muda supaya mereka faham dan mempelajari sejarah perjuangan parti,” katanya.

Hadir sama Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, ADUN Daro, Safiee Ahmad, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi dan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fridah Osman.