Sokong usaha Premier pertahan hak milik Sarawak – Uggah

SERIAN: Rakyat Sarawak perlu berdiri teguh di belakang kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mempertahankan hak milik wilayah ini.

Dalam hal ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) agar memainkan peranan dalam mendapatkan sokongan daripada rakyat Sarawak.

“Setiap lapisan rakyat harus memberikan sokongan padu kepada Premier Sarawak dalam melindungi hak kita seperti yang dibentang beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini mengenai hak mutlak Sarawak terhadap hasil buminya.

“Dasar bumi dan lapisan atas tanah Sarawak, yang pada asalnya adalah tanah Crown di bawah Kanun Tanah 1958, menjadi milik Kerajaan Sarawak sebaik sahaja penubuhan Malaysia pada Hari Malaysia, 1963,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Balai Ringin di Pusat Konvensyen Serian (SCC) di sini hari ini.

Jelas Uggah, sokongan itu penting memandangkan isu ini menjadi bualan hangat pada hari ini sehingga ada yang berani mempersoalkan hak Sarawak yang sudah jelas diterangkan oleh Premier Sarawak, malah sudahpun termaktub dalam perjanjian-perjanjian penting sejak dari dulu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar cawangan-cawangan parti menjadikan isu ini sebagai resolusi utama dalam konvensyen parti pada Februari 2025.

“Kita mesti menunjukkan kepada semua bahawa Premier kita mendapat sokongan jelas daripada seluruh rakyat Sarawak dalam melindungi hak negeri,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Uggah juga menggesa agar cawangan-cawangan parti dapat merumuskan resolusi yang mencerminkan keperluan dan aspirasi sebenar mereka dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.