Jangan cemburu kemajuan Sarawak – Premier

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menepis tanggapan segelintir pihak mendakwa Sarawak mengambil kesempatan dari krisis politik yang berlaku sejak 2014 di Malaysia untuk memperoleh pendapatan yang besar hari ini.

Tegasnya, ia naratif bersifat cemburu terhadap kemajuan yang Sarawak kecapi sekarang hingga berupaya membentangkan bajet terbesar berjumlah RM15.8 bilion, sekali gus mengatasi mana-mana negeri di negara ini.

“Kalau Sarawak begitu maju, jangan ‘jeleous’. Itu adalah naratif orang ‘jeleous’. Saya rasa naratif seperti ini perlu dikaji kerana naratif selalunya ‘jeleous’ dan dengki yang menjadi lumrah manusia,” katanya dalam Sesi Townhall 8 Tahun Bersama Premier Sarawak 2025 di Hikmah Exchange, di sini malam tadi.

Tegasnya, Sarawak sentiasa mengutamakan kestabilan politik untuk memastikan Malaysia mempunyai kerajaan yang stabil.

Jelas beliau, kestabilan politik amat penting terutamanya isu geopolitik yang berlaku di Laut China Selatan khususnya yang menjadi kawasan ‘permainan’ kuasa besar dunia.

“Kita (Sarawak) tidak mempunyai kuasa menangani isu tersebut.

“Kalau ditakdirkan Malaysia huru hara, apakah yang terjadi? Bermakna, dalam keadaan konflik dalaman yang mampu menjejaskan Malaysia, negara ini mesti mempunyai kerajaan kuat, stabil untuk mempertahankan dan membangunkan Malaysia. Ini barulah naratif yang sebenar,” tegasnya.

Tambah beliau, pengurusan ekonomi dan sumber-sumber dengan baik membolehkan Sarawak meningkatkan pendapatannya secara efisien.

Ujarnya, kelebihan Sarawak disokong oleh dasar yang dilaksanakan membolehkan ekonomi Sarawak menjadi terbaik di Malaysia.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.