Pelajar UiTM terima komputer riba sumbangan Yayasan Taqwa

KOTA SAMARAHAN: Seramai 35 pelajar terpilih Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak menerima sumbangan komputer riba bernilai RM3,375 seorang hari ini.

Komputer tersebut disumbang Yayasan Taqwa iaitu agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Yayasan Taqwa (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM118,125 bagi sumbangan itu dan diserahkan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program SISWA+ (Bantuan Komputer Riba kepada Mahasiswa) 2024, UiTM Cawangan Sarawak di Kampus Samarahan 2, di sini.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak, Prof Madya Dr Saimi Bujang yang mewakili Rektor universiti itu berkata, sejumlah besar pelajar universiti itu dari kalangan B40 menerima komputer riba di bawah Inisiatif Komputer Riba Percuma (Yayasan Sarawak) setakat Januari 2025.

“Manakala, pada Khamis lalu seramai 15 pelajar yang layak turut menerima bantuan komputer riba di bawah program Didik Kasih MADANI (dKasih) : Bantuan Peranti MADANI (PERMAI),” katanya di majlis itu.

Sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan sumbangan sebegini bagi membantu pelajar yang berkeperluan.