“Kamek Prihatin, Kitak Penting” lambang kebersamaan rakyat Sarawak

KUCHING: Pembangunan di Sarawak menunjukkan kemajuan ketara apabila lapan projek jambatan berjaya disiapkan tahun lalu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, manakala sembilan lagi dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

“Kemajuan ini selari dengan peningkatan hasil pendapatan negeri yang semakin kukuh, sekali gus memperkukuh keupayaan kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Outreach KPWK Bersama Rakan Strategik: “Kamek Prihatin, Kitak Penting” Zon Betong Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor dan ADUN Kalaka, Mohammad Duri.

Menurut Uggah, kekuatan perpaduan rakyat Sarawak menjadi asas utama kejayaan tersebut.

Semangat kebersamaan itu katanya, membolehkan pelbagai bantuan kerajaan disalurkan secara menyeluruh kepada golongan sasar termasuk petani, pelajar, warga emas serta golongan berpendapatan rendah.

Kerajaan negeri komited untuk memastikan pembangunan yang dirancang terus memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Fatimah menegaskan bahawa pendekatan jangkauan komuniti merupakan jambatan penting antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan inisiatif kebajikan sampai kepada kumpulan sasar.

Katanya, ia menjadi platform strategik untuk menyampaikan maklumat, memudahkan akses kepada bantuan serta memperkukuh jaringan kerjasama antara kementerian dan rakan strategik.

“Ini adalah outreach pertama untuk tahun dan memastikan ia sampai ke pelusuk Sarawak,” ujarnya.

Pada majlis itu, turut berlangsung Simbolik Penyampaian Hamper Sejambak Kasih Tahun Baru Cina dan Simbolik Penyampaian Inisiatif Kerajaan Sarawak seperti Bantuan Ibu Bersalin (BIS), Endowment Fund Sarawak (EFS), Kenyalang Gold Card (KGC), Senior Citizen Health Benefit (SCHB) dan Bantuan Perubatan.

Program Outreach KPWK Bersama Rakan Strategik: “Kamek Prihatin, Kitak Penting” Zon Betong Tahun 2026 berlangsung selama dua hari iaitu 14 hingga 15 Februari 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh dengan pelbagai taklimat, demonstrasi dan pembukaan 24 buah gerai pameran, kaunter perkhidmatan Jabatan, agensi kerajaan dan NGO.